Tanggungjawab Laksana Amar Makruf Nahi Mungkar
Pendakwah atau petugas mesti berusaha terapkan pembawaan sederhana, bersikap mencegah MAKSUD amar makruf ialah mengajak manusia melakukan perkara kebaikan, manakala nahi mungkar pula mencegah manusia daripada melakukan perkara tidak baik. Oleh itu, perkataan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar selalu digunakan merujuk kepada mengajak manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.
Dalam karya fiqh klasik, istilah amar makruf nahi mungkar, jihad dan dakwah sering kali digunakan untuk merujuk kepada maksud yang sama. Dalam al-Quran, perkataan amar makruf dan nahi mungkar digunakan sekurang-kurangnya lapan kali.
Semua merujuk kepada tanggungjawab kolektif setiap Muslim dalam melaksanakan kewajipan itu. Firman Allah yang bermaksud:
"Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang menyeru dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Itulah golongan yang berjaya."
(Surah Ali-Imran, ayat 104)
Amar Makruf
Kewajipan Muslim melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tugas dakwah juga disebut dalam hadis yang bermaksud:
"Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW menggunakan istilah taghyir yang bermaksud kewajipan untuk mengubah perkara tidak baik kepada yang lebih baik dan mencegah sesuatu kemungkaran daripada berlaku. Hadis itu juga menunjukkan setiap Muslim harus melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar secara berperingkat. Pertama, ialah dengan tindakan; kedua dengan perkataan; ketiga dengan hati. Berdasarkan hujah itu, perkataan dakwah mencakupi perbuatan amar makruf dan nahi mungkar kerana amar makruf ialah ajakan melakukan amalan baik, manakala nahi mungkar ajakan menjauhi perbuatan tidak baik.
Realiti masyarakat Islam sekarang, ada pelbagai sebab kenapa dakwah itu menjadi tuntutan ke atas setiap individu Muslim. Antaranya, memberi pendidikan terhadap akhlak dan moral; pendidikan akidah dan sebarang aspek penyelewengan; pendidikan aspek pemikiran barat dan cara menanganinya dan pendidikan pentingnya peranan ilmu dan perpaduan di kalangan umat Islam.
Dakwah juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan masyarakat dan semasa. Oleh kerana kita berdakwah dalam masyarakat maka pemahaman berkaitan masyarakat yang ingin diajak adalah perlu. Penyelidikan juga harus dilakukan untuk memahami budaya dan cara hidup mereka.
Berdasarkan beberapa pendapat ulama, golongan manusia berkewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar ialah orang Islam. Selain itu, ada beberapa syarat tambahan iaitu seorang yang mukalaf, mempunyai akhlak baik supaya tugas dakwah dilaksanakan memberi impak positif.
Antaranya, mestilah mempunyai kemampuan dan pengetahuan (untuk membezakan antara perkara baik dan salah) dan wujud kerjasama antara masyarakat dengan pihak berkuasa.
Amar makruf dan nahi mungkar bertujuan membetulkan jati diri manusia. Ancaman agama, budaya dan kepercayaan tidak akan berjaya memusnahkan identiti orang Islam jika mereka mampu menentangnya dengan kepercayaan dalaman yang kuat berprinsipkan nilai Islam. Ada kalanya usaha manusia untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar menciptakan peraturan tambahan yang tidak wajib, malah menyusahkan pula. Selain itu, hal yang perlu diberi perhatian ialah proses amar makruf dan nahi mungkar mesti berjalan seiringan.
Tidak boleh manusia berusaha menghukum atau mendisiplinkan masyarakat dan pada masa sama membiarkan budaya dan perlakuan tidak bermoral disebarkan melalui media massa. Masalah sosial dan akhlak ini tidak akan jika asyik melancarkan gerakan kilat dan mengejut untuk mencegah gejalanya, tetapi tidak membetulkan sistem yang melahirkan punca timbulnya pelbagai masalah sosial.
Modal yang perlu ada pada setiap pendakwah ialah modal agama, pendidikan yang betul dan kebijaksanaan selain mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengetahui tabiat manusia, masyarakat dan alam sekitar serta mempunyai kesungguhan meneroka disiplin ilmu sesuai aktiviti dakwahnya. Pendakwah atau petugas amar makruf dan nahi munkar mesti berusaha menerapkan pembawaan sederhana, bersikap mencegah bukannya menghukum dan berupaya bercakap dalam bahasa moden sesuai dengan sasaran.
BEBERAPA KEPERLUAN KESEDIAAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR
1. Keimanan yang mendalam.
Ia bermaksud menganggap Islam itu adalah petunjuk yang benar dan selain dari itu adalah kebatilan. Keyakinan terhadap kebenaran itulah yang menjadi prinsip yang tidak boleh ditawar-tawarkan lagi. Setiap penyelewengan dari prinsip itu adalah kesesatan yang lahir dari nafsu keinginan yang merupakantanda kurang sempurnanya iman.
2. Ilmu yang hak
Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu yang bersandarkan kepada AlQur’an dan AsSunnah yang mulia. Seseorang daie perlu mengetahui segala nas-nas yang berakitan serta hukum supaya ia dapat mengetahui kedudukan sebenar orang yang ingin ditegahnya.
3. Matlamat untuk keredhaan Allah
Tiada yang lebih tinggi dari mendapat keredhaan dan kecintaan Allah. Inilah matlamat setiap para nabi dan Rasul dan juga para sahabat di dalam menempuh amar ma’ruf nahi mungkar ini.
KAEDAH AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR
Sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi saw, iaitu:-
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya(kuasanya). Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Dan jika ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman”. (HR Muslim)
1. Dengan tangan ( Kuasa / pemerintahan)
Pemerintahan mempunyai kuasa mutlak untuk menegah dan melarang suatu perbuatan mungkar itu. Ia boleh mengubah atau meletakkan hukuman serta pencegahan bagi rakyat atau orang yang di bawah pimpinannya. Oleh itu, pemimpin akan ditanya lebih dari rakyat atau orang biasa di hari akhirat kelak. Justeru itulah jemaah islam wajib mendapatkan kuasa / pemerintahan sebagai batu asas untuk mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan mungkar kepada masyarakat di bawahnya.
Dalam konteks kemsyarakatan pula, dengan kuasa bermaksud dengan organisasi yang ditadbir. Sebagai contoh, jika seseoang itu menjadi pengarah syarikat atau organisasi pentadbiran, dia boleh melaksanakan sesuatu arahan contohnya mewajibkan kakitangan atau pekerjanya menutup aurat, berkelakuan sopan, mengasingkan antara lelaki dan perempuan, menepati masa dan sebagainya. Mana-mana perlanggaran kepada syariat Islam bolehlah diambil tindakan.
2. Dengan lidah / ucapan / lisan
Kaedah ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya seseorang atau kumpulan tidak mampu mengubah dengan kuasa- yang beerti ia mesti dilaksanakan melalui kaedah lidah lisan. Banyak cara atau kaedah yang boleh dilakukan dengan cara ini termasuk;
* Nasihat / peringatan – sewaktu Nabi-nabi dan Rasul-rasul menjalankan misi dakwah mereka, mereka menggunakan kaedah nasihat atau peringatan tentang ganjaran dan siksa yang bakal manusia itu tempuh di akhirat kelak. Para diae diingatkan supaya menggunakan kaedah nasihat yang baik terlebih dahulu sebelum menggunakan kaedah ancaman. Cara ini boleh dilakukan melalui ceramah, majlis ilmu, penerangan, dan juga secara peribadi (fardiyah)
* Penerangan – Ia meliputi aspek yang meluas seperti ceramah, risalah dan majalah, poster, kempen dan sebagainya
* Penulisan – ia juga adalah suatu aspek dakwah yang berkesan. Para daie perlu menguasai ilmu penulisan dan sebarkan kepada masyarakat tentang kebaikan Islam, keburukan kemungkaran yang dilakukan. Penulisan adalah berbentuk komentar, risalah, poster, majalah, surat khabar, memorandum dan sebagainya.
3. Dengan Hati (membenci dan tidak meredhai)
Nabi saw menyatakan bahawa ini adalah kaedah yang paling nipis iman bagi umat Islam. Kaedah ini hanya boleh dilakukan setelah berikhtiar melalui kaedah kuasa dan lidah yang tidak memberikan kesan bahkan memudharatkan seseorang daie atau jemaah Islam itu sendiri. Ini beerti seseorang daie tidak dibenarkan sama sekali meredhai maksiat dan kemungkaran tersebut dan berusaha menjauhinya sedapat mungkin dengan membawa bersama pengikut-pengikut ke tempat lain. Ini kerana untuk mengelakkan kemurkaan dan bala Allah swt di tempat tersebut. Namun jika tidak terdaya membencilah sedapat mungkin sambil berdoa supaya masyarakat yang jahil supaya mereka sedar.
Abul-Laits berkata: "Seorang yang akan menjalankan amar maruf dan nahi mungkar harus melengkapi lima syarat iaitu:
1. Berilmu, sebab orang yang cerdik sungguh. tidak mengerti maruf dan mungkar
2. Ikhlas kerana Allah s.w.t. dan kerana agama Allah s.w.t.
3. Kasih sayang kepada yang dinasihati, dengan lunak dan ramah tamah dan jangan menggunakan kekerasan sebab Allah s.w.t. telah berpesan kepada Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. supaya berlaku lunak kepada Fir'aun
4. Sabar dan tenang, sebab Allah s.w.t. berfirman yang berbunyi: "Wa'mur bil ma'rufi wanha anilmunkar wash bir ala maa ashabaka." Yang bermaksud: "Anjurkan kebaikan dan cegahlah yang mungkar dan sabarlah terhadap segala penderitaanmu."
5. Harus mengerjakan apa-apa yang dianjurkan supaya tidak dicemuh orang atas perbuatannya sendiri sehingga tidak termasuk pada ayat yang berbunyi: "Ata'murunannasa bil-birri watansauna anfusakum." Yang bermaksud: "Apakah kamu menganjurkan kebaikan kepada orang lain tetapi melupakan dirimu sendiri."
sumber : halaqah.net
No comments:
Post a Comment