28 Oct 2011

ALLAH memilih kita menjadi manusia...bersyukurlah...



‘Ya Allah, Engkau telah menciptakan aku dengan sebaik-baik penciptaan dan kejadian namun aku pula telah melakukan seburuk-buruk kejahatan dan amalan. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa dan
kejahatan yang telahku lakukan. Golongkanlah daku di kalangan sebaik-baik hambaMu
dan janganlah Engkau hina daku sebagaimana Engkau menghina hambaMu yang durhaka’.

Bersyukurlah pada Allah swt yang telah memilih kita untuk menjadi seorang manusia, bukannya sebagai haiwan lain atau tumbuh-tumbuhan atau selainnya. Bukankah manusia itu adalah sebaik-baik kejadian yang Allah ciptakan di atas muka bumi ini? Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah”. Demikianlah ingatan Allah dalam Surah At Tiin, Ayat 4-5.

Sesungguhnya di sana kita boleh melihat betapa banyaknya makhluk yang telah Allah swt ciptakan. Ada yang bernama bulan dan matahari, ikan, ayam, lembu, kambing, kijang, rusa, pisang, epal, durian, bukit malah jutaan makhluk yang tak terungkap dek lidah yang satu.

Semua makhluk ciptaan ilahi ini, Allah jadikan untuk berkhidmat kepada manusia yang merupakan sebaik-baik kejadianNya. Sejak kita dilahirkan lagi, Allah swt telah menyediakan udara yang terkandung di dalamnya oksijen dengan kadar 21%, supaya kita dapat bernafas sehingga ke hari ini. Allah swt menyediakan kita sinaran matahari yang bukan sahaja untuk membolehkan kita melihat alam semulajadi yang indah malah ianya juga berfungsi mengaktifkan vitamin D untuk badan kita.

Dengan terbitnya matahari, ayah kita pergi mencari rezeki untuk kita, agar kita boleh membesar sehinggalah kita menjadi seorang dewasa. Ada di antara ayah kita yang bekerja dengan bercucuk tanam dan berladang lalu ia mendapat rezeki, kurniaan ilahi. Meskipun ayah kita seorang yang durhaka pada tuhannya, tidak mengerjakan solat dan tidak juga berpuasa namun Allah swt tetap melimpahkan rezeki yang diusahakan oleh ayah kita untuk kita. Subhanallah, betapa kasih dan sayangnya Allah pada hambaNya.

Dengan rezeki itulah maka ayah memberi makan kepada ibu kita lalu ibu kita mendapat tenaga untuk menjaga dan memelihara kita. Dengan makanan yang baik juga maka ibu dapat membekalkan susu untuk kita sebagai minuman dan makanan yang terbaik untuk kita yang masih bernama ‘bayi’. Begitu agungnya ciptaan Allah swt, sehingga semua makhlukNya berkhidmat untuk kita. Benarlah Firman Allah dalam Surah Ibrahim Ayat 32-33 yang bermaksud Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu”.

Apabila kita telah menjadi dewasa, kita dapati betapa banyaknya lagi makhluk Allah swt yang dijadikannya, bersedia untuk terus berkhidmat kepada kita. Besi bersedia berkhidmat kepada kita sehingga kita boleh sampai ke tempat yang jauh dalam masa yang singkat samada dengan menggunakan kereta atau kapalterbang. Air juga bersedia untuk menghilangkan dahaga kita agar kita dapat terus hidup dengan kesihatan yang terbaik. Pohon-pohon kayu dan tumbuh-tumbuhan juga setia berkhidmat dengan membekalkan buah-buahan yang kaya dengan zat dan vitamin yang diperlukan oleh badan kita. Termasuk juga tumbuh-tumbuhan yang bersedia untuk diratah oleh kita atas nama ‘sayur-sayuran’ semata-mata untuk berkhidmat kepada kita.

Lihatlah betapa mulianya kita sebagai manusia yang diciptakan Allah swt berbanding dengan makhluk Allah yang lain. Semua makhluk lain, Allah tundukkan untuk kita. Sebab itulah kita wajib bersyukur pada Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Pemurah dan Penyayang Allah tidak boleh dihitung kerana terlalu banyaknya kemudahan yang Allah sediakan untuk kita sejak kita dilahirkan sehingga ke akhir hayat kita. Seandainya kita cuba menghitung nescaya kita tidak ada masa untuk bekerja mencari rezeki walaupun sesuap nasi bahkan kita tidak punya masa untuk beribadah pada Allah, bahkanpastinya badan kita akan lemah longlai kerana keletihan menghitung nikmat tuhan kepada kita. Artinya terlalu banyaknya nikmat Allah swt untuk kita. Namun begitu, kenapalah kita masih tidak mahu bersyukur pada Allah swt dengan mentaati perintahNya. Jadi, tak perlu kita berfikir dan berhajat ingin mengira nikmat Allah swt kepada kita. Cukuplah kita mengakui betapa banyaknya nikmat tuhan kepada kita lantas kita berusaha mensyukuri nikmatnya itu. Ambillah ingatan Allah swt di dalam Surah Ibrahim Ayat 34 yang bermaksud “Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.

“Ya Allah, Berilah kekuatan dan pertolonganMu pada ku untuk beribadah padaMu sebagai tanda syukurku padaMu kerana telah memilih aku menjadi sebagai Manusia atau Insan yang merupakan makhlukMu yang paling mulia di kalangan makhlukMu yang lain-lain.”

terima kasih : muslimah shop

No comments:

Post a Comment